Thursday 27 December 2012

LAWATAN STAF IBS KE SEKTOR INDUSTRI


Pada 18-20 Disember 2012 pihak Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengadakan lawatan ke beberapa buah institusi di sekitar Kuala lumpur dan Putrajaya. Lawatan ini melibatkan beberapa buah organisasi terkenal antaranya stesen TV Al-Hijrah, Yayasan Wakaf Malaysia, Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Halal JAKIM dan Suruhanjaya Sekuriti (Bahagian Pasaran Modal Islam). Delegasi lawatan diketuai oleh Dr. Muhammad Nasri Md Hussain selaku Ketua Jabatan dan disertai lapan (8) tenaga pengajar IBS yang lain. Tujuan utama lawatan adalah untuk mengeratkan silaturrahim mahhabbah di samping mendapatkan input terkini dari institusi yang dilawati dan melihat peluang kerjasama yang boleh diterokai.
Lawatan di TV Al-Hijrah disambut Eksekutif kanan Komunikasi Korporat mereka, En. Irwan Ab Rahman dan Pegawai Penyelidik Program, En. Syed Shahrizan. Pihak IBS diberi taklimat berkenaan operasi TV Al-Hijrah, dan ditawarkan untuk menjadi panel bagi beberapa program terbitan TV tersebut. Pihak IBS turut ditawar mengadakan kerjasama MOA/MOU dengan pihak stesyen TV tersebut. TV Al-Hijrah merupakan satu-satunya stesyen TV di negara ini yang mempunyai bahagian Halal Compliance untuk rancangan TV. Hal ini telah membuka ruang yang luas khususnya bagi pensyarah dan lepasan program IBS untuk meneroka aspek halal di bidang penyiaran. Lawatan di Halal JAKIM pula telah membawa kepada beberapa ruang jaringan kerjasama universiti-industri yang boleh dilakukan seperti ke arah penawaran Sijil Halal Profesional. Sijil profesional merupakan nilai tambah yang penting bagi para pelajar IPTA masa kini dalam usaha mempromosi diri ke dunia pekerjaan.
Manakala, lawatan ke Yayasan Waqaf Malaysia dan JAWHAR, pihak IBS telah diberi taklimat berkaitan projek wakaf yang telah sedia dijalankan seperti projek-projek perhotelan, sekolah dan asrama, pasaraya dan pusat kesihatan. Pihak JAWHAR juga menjemput para penyelidik dari universiti untuk terus menggandakan usaha penyelidikan ke arah pembangunan waqaf di negara ini. Para pensyarah juga dijemput untuk menyumbangkan artikel ke jurnal terbitan JAWHAR. Lawatan terakhir ke Suruhanjaya Sekuriti (Bahagian Pasaran Modal Islam) (SIDC) telah disambut oleh Ketua Bahagian Syariah iaitu Dr. Nurdin Ngadimon, Ketua Bahagian Produk Puan Noraizat Shik Ahmad dan Ketua Bahagian Pembangunan iaitu En. Badlishah Bashs dan En. Radzuan Tajuddin. Pihak SIDC memberikan penerangan panjang lebar berkaitan operasi pasaran modal Islam dan menawarkan pelbagai peluang jaringan industri kepada staf IBS seperti peluang program penempatan industri staf akademik (LISA) di SIDC.
Keseluruhannya, program lawatan ini menunjukkan beberapa petanda positif sama ada di pihak IBS UUM mahupun institusi yang dilawati terutamanya dari segi memperkukuh jaringan industri dalam aspek pengajaran dan pembelajaran seterusnya meningkatkan tanda aras program Pengajian IBS khasnya dan universiti umumnya. Diharapkan hubungan antara kedua-dua pihak ini dapat dikekalkan dan diteruskan dari masa ke semasa. Secara tidak langsung lawatan awal ini telah memberi seribu makna dan membuka ruang dan peluang kerjasama yang boleh mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak yang terlibat pada masa hadapan.

Thursday 20 December 2012

KELAB MUAMALAT TERBAIK UUM COB


Kelab Pentadbiran Muamalat julung kalinya telah dinobatkan sebagai Badan Pelajar Terbaik dan memenangi hadiah RM1,000. Anugerah Kepimpinan Siswa Terbaik pula dimenangi oleh Saudara Muhammad Fakhruddin Hadi Yusman, Presiden Kelab My Agrosis manakala Anugerah Kepimpinan Siswi Terbaik dimenangi oleh Saudari Oh Seok Mei, Presiden Kelab Kewangan dan Perbankan. Saudari Asma Mohd Tajuddin daripada Kelab Pentadbiran Muamalat telah memenangi Anugerah Kepimpinan Harapan. Majlis ini telah diraikan dalam satu majlis yang penuh gilang gemilang berlangsung di Hotel EDC, UUM Sintok.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Turut hadir memeriahkan majlis adalah Dekan-dekan Pusat Pengajian, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni serta Penasihat-penasihat Kelab/Persatuan Kolej Perniagaan.
Anugerah-anugerah lain yang telah dipertandingkan adalah Anugerah Projek Terbaik Kategori Akademik Peringkat Antarabangsa yang dimenangi oleh Kelab Pentadbiran Muamalat iaitu Program Integrasi Muamalat Global ke Beijing, Peringkat Kebangsaan dimenangi oleh Kelab Perakaunan iaitu Program MICPA Leadership Camp dan Peringkat Universiti dimenangi oleh gabungan 3 Kelab iaitu Kelab Logistik, Persatuan Pengurusan Teknologi dan Persatuan Pengurusan Operasi melalui Program Simposium Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik II. Anugerah Projek Terbaik Kategori Sahsiah pula dimenangi oleh Kelab Ekonomi melalui Program Bersama Kanak-kanak Istimewa di Taman Sinar Harapan, Jitra. Selain itu, program One Day for The Future telah membawa tuah kepada Saudari Darwinah Mohd Darwin Lim apabila dinobatkan sebagai Pengarah Projek Terbaik.