Sunday 26 May 2013

IBS INDUSTRIAL TALK OLEH EN. ISMAIL MAHBOB

Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah berjaya menganjurkan syarahan industri oleh Felo Adjung iaitu En. Ismail Mahbob pada 19 Mei 2013 (Ahad) yang bertempat di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM. Dalam ucapan aluannya, Dekan IBS Prof. Madya Dr Asmadi Mohamed Naim telah menyatakan penghargaan kepada En. Ismail Mahbob di atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada warga IBS serta berkongsi ilmu dan pengalaman berharga beliau selama lebih daripada 35 tahun beliau berkecimpung dalam bidang Insuran dan Takaful di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengalaman luas beliau dari tahun 1977 sehingga Mei 2012 melalui pelbagai pengalaman termasuklah pernah memegang jawatan pengurusan tertinggi seperti CEO, pengurus cawangan, timbalan presiden dan sebagainya di beberapa buah syarikat insuran dan takaful seperti Magnet Insurance Brokers, American Malaysian Insurance Sdn Bhd, Labuan Reinsurance and MNRB Retakaful Berhad. Beliau juga bergiat secara aktif dalam aktiviti industri seperti berperanan sebagai Pengerusi Global Takaful Group dan juga merupakan ahli kepada pertubuhan badan professional Council of Association of Chartered Islamic Finance Professionals (ACIFP), Islamic Finance Committee, Labuan International Business Centre, Management Committee of Malaysian Takaful Association. Beliau juga banyak terlibat secara aktif dengan pembentangan di seminar-seminar dan forum disamping menyumbang artikel di majalah 'Industrial Trade Magazine'
Sepanjang lawatan dua hari beliau di IBS, UUM COB, beberapa aktiviti dijalankan antaranya sesi dialog bersama staf akademik IBS serta program syarahan industri bertajuk "Global Takaful Industry : An Overview". Syarahan ini bertepatan dengan strategi IBS dalam usaha untuk mendedahkan pelajar kepada aspek praktikal industri takaful lanjutan dari teori yang dipelajari di bilik kuliah yang mana ianya memberi manfaat kepada pelajar dan juga staf akademik IBS.
Secara terperincinya, syarahan ini menyentuh aspek-aspek seperti teori takaful dan insuran dengan menekankan perbezaan kedua-dua bidang, perkembangan dalam industri takaful dengan melihat model yang digunakan, lanskap industri takaful, isu strategik dalam industri dan masa hadapan industri secara keseluruhannya.
Secara amnya, semua peserta memperoleh banyak pengetahuan baru mengenai kedudukan industri takaful secara global. Program syarahan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan dihadiri hampir 150 peserta yang terdiri dari pelajar dan staf akademik. Hal ini boleh dilihat dari respon dan persoalan yang diajukan oleh para pelajar semasa sesi soal jawab.

No comments:

Post a Comment