Thursday 20 December 2012

KELAB MUAMALAT TERBAIK UUM COB


Kelab Pentadbiran Muamalat julung kalinya telah dinobatkan sebagai Badan Pelajar Terbaik dan memenangi hadiah RM1,000. Anugerah Kepimpinan Siswa Terbaik pula dimenangi oleh Saudara Muhammad Fakhruddin Hadi Yusman, Presiden Kelab My Agrosis manakala Anugerah Kepimpinan Siswi Terbaik dimenangi oleh Saudari Oh Seok Mei, Presiden Kelab Kewangan dan Perbankan. Saudari Asma Mohd Tajuddin daripada Kelab Pentadbiran Muamalat telah memenangi Anugerah Kepimpinan Harapan. Majlis ini telah diraikan dalam satu majlis yang penuh gilang gemilang berlangsung di Hotel EDC, UUM Sintok.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Turut hadir memeriahkan majlis adalah Dekan-dekan Pusat Pengajian, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelajar dan Alumni serta Penasihat-penasihat Kelab/Persatuan Kolej Perniagaan.
Anugerah-anugerah lain yang telah dipertandingkan adalah Anugerah Projek Terbaik Kategori Akademik Peringkat Antarabangsa yang dimenangi oleh Kelab Pentadbiran Muamalat iaitu Program Integrasi Muamalat Global ke Beijing, Peringkat Kebangsaan dimenangi oleh Kelab Perakaunan iaitu Program MICPA Leadership Camp dan Peringkat Universiti dimenangi oleh gabungan 3 Kelab iaitu Kelab Logistik, Persatuan Pengurusan Teknologi dan Persatuan Pengurusan Operasi melalui Program Simposium Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik II. Anugerah Projek Terbaik Kategori Sahsiah pula dimenangi oleh Kelab Ekonomi melalui Program Bersama Kanak-kanak Istimewa di Taman Sinar Harapan, Jitra. Selain itu, program One Day for The Future telah membawa tuah kepada Saudari Darwinah Mohd Darwin Lim apabila dinobatkan sebagai Pengarah Projek Terbaik.

No comments:

Post a Comment