Sunday 26 May 2013

IBS INDUSTRIAL TALK OLEH EN. ISMAIL MAHBOB

Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah berjaya menganjurkan syarahan industri oleh Felo Adjung iaitu En. Ismail Mahbob pada 19 Mei 2013 (Ahad) yang bertempat di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM. Dalam ucapan aluannya, Dekan IBS Prof. Madya Dr Asmadi Mohamed Naim telah menyatakan penghargaan kepada En. Ismail Mahbob di atas kesudian untuk menjadi sebahagian daripada warga IBS serta berkongsi ilmu dan pengalaman berharga beliau selama lebih daripada 35 tahun beliau berkecimpung dalam bidang Insuran dan Takaful di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengalaman luas beliau dari tahun 1977 sehingga Mei 2012 melalui pelbagai pengalaman termasuklah pernah memegang jawatan pengurusan tertinggi seperti CEO, pengurus cawangan, timbalan presiden dan sebagainya di beberapa buah syarikat insuran dan takaful seperti Magnet Insurance Brokers, American Malaysian Insurance Sdn Bhd, Labuan Reinsurance and MNRB Retakaful Berhad. Beliau juga bergiat secara aktif dalam aktiviti industri seperti berperanan sebagai Pengerusi Global Takaful Group dan juga merupakan ahli kepada pertubuhan badan professional Council of Association of Chartered Islamic Finance Professionals (ACIFP), Islamic Finance Committee, Labuan International Business Centre, Management Committee of Malaysian Takaful Association. Beliau juga banyak terlibat secara aktif dengan pembentangan di seminar-seminar dan forum disamping menyumbang artikel di majalah 'Industrial Trade Magazine'
Sepanjang lawatan dua hari beliau di IBS, UUM COB, beberapa aktiviti dijalankan antaranya sesi dialog bersama staf akademik IBS serta program syarahan industri bertajuk "Global Takaful Industry : An Overview". Syarahan ini bertepatan dengan strategi IBS dalam usaha untuk mendedahkan pelajar kepada aspek praktikal industri takaful lanjutan dari teori yang dipelajari di bilik kuliah yang mana ianya memberi manfaat kepada pelajar dan juga staf akademik IBS.
Secara terperincinya, syarahan ini menyentuh aspek-aspek seperti teori takaful dan insuran dengan menekankan perbezaan kedua-dua bidang, perkembangan dalam industri takaful dengan melihat model yang digunakan, lanskap industri takaful, isu strategik dalam industri dan masa hadapan industri secara keseluruhannya.
Secara amnya, semua peserta memperoleh banyak pengetahuan baru mengenai kedudukan industri takaful secara global. Program syarahan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan dihadiri hampir 150 peserta yang terdiri dari pelajar dan staf akademik. Hal ini boleh dilihat dari respon dan persoalan yang diajukan oleh para pelajar semasa sesi soal jawab.

Sunday 19 May 2013

BENGKEL PASARAN MODAL ISLAM BERMANFAAT UNTUK PELAJAR IBS



Pada 13 dan 14 Mei 2013, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pasaran Modal Islam yang bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam dan Dewan Kuliah Gugusan 3/1. Bengkel ini merupakan program tahunan yang dianjurkan bersama dengan SIDC (Securities Industry Development Corporation) di bawah program 'Industry Transformation Initiative (ITI)'. Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap pembangunan dan perkembangan pasaran modal Islam di Malaysia. Pelajar-pelajar didedahkan kepada kerangka regulasi dan garis panduan syariah yang membolehkan pelajar membezakan ciri-ciri dan amalan produk pasaran Modal Islam berbanding produk konvensional.
Bengkel ini telah berjaya menarik minat kira-kira 250 orang pelajar yang majoritinya terdiri daripada pelajar tahun akhir dari IBS dan juga sebahagian pelajar dari sekolah pengajian lain seperti Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan. Bengkel ini telah dimulakan dengan sesi khas berkaitan peluang kerjaya dalam bidang industri sekuriti dan khususnya dalam industri pasaran modal Islam yang disampaikan oleh En. Mohd. Nasrul Shah Samsudin, Eksekutif Pendidikan Pelabur SIDC. Seterusnya, bengkel diteruskan dengan kendalian sesi oleh En. Zairulnizad Shahrim, Timbalan Pengarah, Jabatan Pasaran Islam, AmInvestment Bank Berhad yang dibahagikan kepada empat tema utama iaitu perbankan dan kewangan Islam, pasaran ekuiti Islam, sukuk dan produk berstruktur Islam.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjalan dengan lancar. Komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar sepanjang program ini berlangsung menunjukkan program ini berjaya mencapai objektifnya dan membantu pelajar lebih memahami apa yang mereka pelajari di dalam kuliah melalui perbincangan dan maklumat yang disampaikan oleh pembentang yang berpengalaman luas dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, IBS sendiri mendapat manfaat secara tidak langsung melalui jalinan hubungan dengan industri. Sememangnya hubungan erat IBS dan industri perlu sentiasa dijalinkan dari masa ke semasa untuk pengukuhan program ditawarkan oleh IBS dan pembangunan modal Insan.

Thursday 16 May 2013

KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN TERTINGGI KOLEJ ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KIPSAS) KE IBS


Pada khamis 9 Mei 2013 yang lepas, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menerima kunjungan hormat dan silaturrahim delegasi pengurusan tertinggi dari KIPSAS. Delegasi yang diketuai pengerusi KIPSAS, Dato' Hj Yahya Zainal Abidin bersama Dekan-Dekan kuliah utama di KIPSAS. Sementara wakil IBS terdiri dari Dekan IBS sendiri, Ketua jabatan dan pemegang-pemegang jawatan di IBS. Perbincangan penuh harmoni dan menjana pelbagai peluang telah dikenalpasti melalui pertemuan tersebut.
Pihak KIPSAS melalui Pengerusinya melahirkan hasrat untuk menawarkan program-program pengajian di peringkat lebih tinggi seperti sarjana muda, sarjana dan PhD. Buat masa ini program ditawarkan KIPSAS lebih fokus kepada program di peringkat Diploma. Melalui perbincangan yang diadakan terdapat ruang-ruang kerjasama yang luas yang boleh dilaksanakan antara KIPSAS dan UUM pada masa akan datang.
Peluang kerjasama bersama IBS menjadi bertambah luas kerana program-program yang ditawarkan KIPSAS ketika ini menyamai program yang ditawarkan IBS, namun di peringkat yang berbeza. Hasil pertemuan, pihak IBS sedang bekerja ke arah merealisasikan peluang-peluang kerjasama yang boleh dilaksana dalam masa terdekat. Kerjasama itu nanti bakal melibatkan seluruh jentera UUM dan tidak tertumpu kepada IBS semata-mata. Semoga gerak kerja sebegini memberi input ke arah memacu UUM menjadi universiti pengurusan terkemuka.

Thursday 9 May 2013

UUM LEBARKAN JARINGAN KE BAHRAIN


Universiti Utara Malaysia telah menerima kunjungan delegasi General Council for Islamic Banks and Financial Institutions (CIBAFI), Bahrain pagi tadi.
Dalam pertemuan singkat tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama wakil CIBAFI itu turut diadakan bertempat di Bilik Santalia, EDC-UUM.
Dekan Islamic Business School (IBS), Associate Professor Dr Asmadi Mohamed Naim dalam ucapan aluannya berkata objektif utama MoA ini ditandatangani adalah untuk mempromosikan program pasca siswazah yang ditawarkan di samping melebarkan jaringan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa.
Katanya, ini dapat meningkatkan lagi imej UUM di mata dunia dalam misi untuk ke arena antarabangsa serta menjadi universiti pengurusan terkemuka.
Naib Canselor turut menyambut baik hasrat CIBAFI untuk bekerjasama dengan UUM dengan menyatakan UUM adalah pilihan tepat mereka untuk menjalin hubungan kerjasama.
"Sejak dua tahun lepas, UUM berusaha sedaya-upaya untuk menjalankan promosi di Timur Tengah jadi, MoA ini sejajar dengan agenda antarabangsa UUM untuk melebarkan jaringan kerjasama dengan pihak Institusi kewangan dan perbankan antarabangsa".
Tambahnya, ini juga akan memberi peluang dan manfaat kepada kedua pihak, ujar beliau lagi.
Delegasi daripada Bahrain tersebut diwakili oleh Secretary General, Dr Omar Zuhair Hafiz dan Executive Director, Mr. Mohamed Ben Youssef.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Rosna Awang Hashim, Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof Dr Rushami Zien Yusoff, Pengarah Jabatan Canselori, Baharudin Yaacob, Pendaftar, Mohamad Akhir Yusuf dan Penasihat Undang-undang, Md Rejab Md Desa.