Sunday 19 May 2013

BENGKEL PASARAN MODAL ISLAM BERMANFAAT UNTUK PELAJAR IBS



Pada 13 dan 14 Mei 2013, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pasaran Modal Islam yang bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam dan Dewan Kuliah Gugusan 3/1. Bengkel ini merupakan program tahunan yang dianjurkan bersama dengan SIDC (Securities Industry Development Corporation) di bawah program 'Industry Transformation Initiative (ITI)'. Tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap pembangunan dan perkembangan pasaran modal Islam di Malaysia. Pelajar-pelajar didedahkan kepada kerangka regulasi dan garis panduan syariah yang membolehkan pelajar membezakan ciri-ciri dan amalan produk pasaran Modal Islam berbanding produk konvensional.
Bengkel ini telah berjaya menarik minat kira-kira 250 orang pelajar yang majoritinya terdiri daripada pelajar tahun akhir dari IBS dan juga sebahagian pelajar dari sekolah pengajian lain seperti Sekolah Ekonomi, Kewangan dan Perbankan. Bengkel ini telah dimulakan dengan sesi khas berkaitan peluang kerjaya dalam bidang industri sekuriti dan khususnya dalam industri pasaran modal Islam yang disampaikan oleh En. Mohd. Nasrul Shah Samsudin, Eksekutif Pendidikan Pelabur SIDC. Seterusnya, bengkel diteruskan dengan kendalian sesi oleh En. Zairulnizad Shahrim, Timbalan Pengarah, Jabatan Pasaran Islam, AmInvestment Bank Berhad yang dibahagikan kepada empat tema utama iaitu perbankan dan kewangan Islam, pasaran ekuiti Islam, sukuk dan produk berstruktur Islam.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjalan dengan lancar. Komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar sepanjang program ini berlangsung menunjukkan program ini berjaya mencapai objektifnya dan membantu pelajar lebih memahami apa yang mereka pelajari di dalam kuliah melalui perbincangan dan maklumat yang disampaikan oleh pembentang yang berpengalaman luas dan berpengetahuan tinggi. Selain itu, IBS sendiri mendapat manfaat secara tidak langsung melalui jalinan hubungan dengan industri. Sememangnya hubungan erat IBS dan industri perlu sentiasa dijalinkan dari masa ke semasa untuk pengukuhan program ditawarkan oleh IBS dan pembangunan modal Insan.

No comments:

Post a Comment